April 15, 2012

sebelum belajar bercakap...

        Sebelum kanak-kanak mula menyebut perkataan pertama  dan  seterusnya berinteraksi secara efektif dengan anda,  kanak-kanak perlu mempunyai kemahiran  pemahaman bahasa atau lebih dikenali sebagai kemahiran bahasa reseptif. Kemahiran bahasa reseptif ini sangat penting kerana ia dapat menunjukkan  sejauh mana anak anda benar-benar faham dan memaksudkan apa yang telah diujarkannya atau didengarinya. Ia bukan hanya meniru atau mengulang apa yang didengarinya semata-mata, tetapi tidak memahami maknanya langsung.
kemahiran bahasa reseptif - contoh: anak anda akan mengambil 'itik' apabila anda 'menyebut' itik .
(Bukan anda menunjuk ke arah itik) 

            Sebagai contoh, kanak-kanak mengikut percakapan yang didengarinya di iklan TV seperti ‘yakult....’, atau ‘TV3.....’ tetapi dia tidak memahami langsung ertinya. Atau anak anda menyanyikan dengan lancar lagu ABC serta mengira 1 hingga 10 tanpa sebarang masalah. Tetapi, dia tidak kenal yang mana satu huruf A, B dan sebagainya.

            Sebagai persediaan untuk memahami bahasa, kanak-kanak perlu mempunyai kemahiran  pra-bahasa  yang membantu mereka  belajar untuk faham dan seterusnya bercakap. Kemahiran pra-bahasa adalah asas kepada perkembangan bahasa dan pertuturan. Dalam kata yang lainnya, ia adalah anak tangga yang pertama dan perlu dikuasai.


KEMAHIRAN PRA-BAHASA

            Kemahiran ini mula diperoleh seawal  tahun pertama bayi. Dengan menguasai kemahiran ini, kanak-kanak lebih mudah mempelajari bahasa dan seterusnya mengembangkan kemahiran berbahasa dan komunikasi.
            Kebanyakan kanak-kanak  yang mempunyai masalah pertuturan dan  bahasa seperti  masalah Autisme, hyperaktif, Sindrom Down, Apraxia, Global Developmental Delay dan sebagainya, sebenarnya mempunyai masalah kemahiran pra-bahasa. Jika kemahiran ini tidak dikuasai, proses pembelajaran bahasa menjadi lebih lambat dan sukar.
            Kemahiran pra-bahasa ini terbahagi kepada beberapa bahagian antaranya  ialah kebolehan memberi tumpuan, memberi kontak mata, mengambil giliran, meniru, kemahiran bermain secara simbolik dan sebagainya.
           
1. TUMPUAN

            Sukar untuk mengajar kanak-kanak bercakap jika kanak-kanak tidak memberi tumpuan langsung atau tumpuannya sangat kurang. Kanak-kanak yang kurang tumpuan biasanya tidak akan mempedulikan orang lain, mudah bosan, tidak duduk diam  dan tidak fokus pada sesuatu kerja yang dilakukannya.

            Sesetengah kanak-kanak boleh memberi perhatian ketika bermain tetapi tidak dapat memberi perhatian ketika berinteraksi dengan orang lain.  Kanak-kanak ini kelihatan gelisah dan cuba mengelak daripada berinteraksi dengan anda dan  tidak mahu memandang ke  arah anda dan aktiviti yang sedang anda lakukan. Sebagai contoh, apabila anda sedang bermain dan meniup belon buih, anak anda kurang atau tidak langsung melihat ke arah anda atau pun belon. Sebaliknya dia berjalan mundar-mandir atau melihat ke arah yang lain tanpa mempedulikan anda.

            Memang secara amnya, kemahiran memberi tumpuan adalah singkat bagi kanak-kanak. Tetapi, tidaklah terlalu singkat. Terdapat beberapa peringkat tumpuan kanak-kanak dan kemahiran ini boleh dinilai oleh pakar kanak-kanak, patologis pertuturan bahasa atau terapis carakerja.

2. TUMPUAN BERSAMA

            Kanak-kanak akan bersama-sama melihat ke arah  anda dan objek yang sedang anda pegang atau main. Inilah yang dipanggil sebagai tumpuan bersama. Sebagai contoh, jika anda sedang bermain  belon buih, anak  anda dapat memberi tumpuan kepada belon buih tersebut  dan juga kepada anda. Jika anak anda hanya memberi tumpuan kepada salah satu daripadanya  sahaja seperti hanya melihat belon buih, tetapi tidak langsung bertumpu kepada anda  yang meniup belon itu, anak anda mungkin tidak mempunyai  kemahiran  ini.

            Contoh lain adalah ketika anda bermain bola bersama anak anda. Adakah anak anda memberi tumpuan hanya apabila bola berada di tanggannya? Atau dia turut memberi tumpuan ke arah anda ketika bola berada di tangan anda? Sebaik-baiknya anak anda dapat memberi tumpuan pada kedua-duanya.

Kemahiran ini memastikan kanak-kanak supaya dapat berinteraksi dengan orang lain dan bukan  berada di dalam dunianya sendiri. Kebanyakan kanak-kanak Autisme contohnya, mempunyai masalah memberi  tumpuan bersama  dan menyukarkannya berinteraksi dengan orang lain. \


3.MENDENGAR 

Jika anda mempunyai masalah mendengar, anda akan  mempunyai masalah untuk  bertutur.  Hilang pendengaran merupakan kecacatan yang tidak nampak dari  paras  rupa. Ia akan terserlah apabila anda berbual dengan orang yang mempunyai masalah kurang pendengaran itu.


Mendengar merupakan kemahiran bersosial  yang penting untuk  semua orang. Bagi kanak-kanak, kemahiran ini mula berkembang seawal usia 3  hingga  6 bulan. Pada usia in i anak anda  akan menoleh ke arah sumber suara atau  bunyi yang didengarinya. Anak anda akan menoleh ke arah pintu jika anda mengetuk pintu. Anak anda juga akan kelihatan mencari-cari anda jika mendengar suara anda sama ada dari  luar rumah, di dapur atau  berhampiran di kiri atau kanannya.

Pada usia 6hingga 9 bulan, anak anda sudah boleh mendengar  dan seterusnya memahami namanya.  Oleh itu,  anak anda akan menoleh jika  mendengar namanya dipanggil.

Sebagai ibu bapa, anda perlu peka terhadap  perkembangan mendengar anak anda. Jika anak anda tidak  memberi respon sedemikian, maka eloklah  jika anda menjalankan ujian  pendengaran di hospital untuk memastikan  sama ada anak anda boleh mendengar atau sebenarnya kurang pendengaran.

Bagi  kanak-kanak,  masalah pendengaran yang minimum  sahaja pun, sudah boleh mengganggu keseluruhan perkembangan bahasa dan  pertuturannya. Tidak seperti kita orang dewasa, jika kita mempunyai masalah kurang pendengaran pada tahap ringan, kita masih lagi boleh meneka apa yang dituturkan oleh  orang lain berdasarkan ayat atau perkataan lain dalam ayat  itu, atau meneka melalui gerak bibir penutur.

Sebenarnya, kita bercakap apa yang kita  dengar. Begitu juga kanak-kanak. Jika kanak-kanak boleh mendengar apa yang kita  cakapkan, anak anda mempunyai peluang untuk  bercakap.

Bagi kanak-kanak yang telah  disahkan mempunyai  masalah kurang pendengaran,  masih mempunyai peluang cerah untuk belajar bercakap. Teknologi yang canggih  dan terbina  sejak 30 tahun dahulu iaitu  seperti penggunaan alat bantu pendengaran  dan yang  terbaru koklea implan dapat membantu kanak-kanak mempelajari cara bertutur dan berbahasa. Walau bagaimanapun, pengesanan awal terhadap masalah ini sangat penting supaya anak anda dapat memakai alat bantu pendengaran seawal yang mungkin.

Oleh sebab kita bercakap apa yang kita dengar dalam suasana persekitaran harian,  kanak-kanak akan mempelajari bahasa dalam suasana persekitarannya. Maknanya jika  anak itu lahir dan membesar di German, dia lebih mudah memahami bahasa  yang digunakan di  situ. Begitu juga jika anak  lahir dan membesar di negara Arab dan sebagainya.

Kemahiran mendengar terbahagi kepada beberapa peringkat utama. Peringkat pertama adalah mengenal pasti sama ada bunyi itu ada atau tidak ada. Seterusnya adalah kemahiran membezakan bunyi. Contohnya membezakan bunyi yang panjang seperti bunyi lembu [muuuuuuu]  dengan bunyi yang pendek seperti bunyi anjing [wowo]. Peringkat ketiga adalah memahami  makna bunyi itu. Contohnya, memahami apabila orang lain berkata [jangan], [nak], [makan] dan  sebagainya. Peringkat terakhir  adalah kefahaman bunyi yang didengar dalam perbualan dan membolehkan kita berbual dengan jayanya. 


OK. Sebenarnya ada lagi kemahiran pra-bahasa yang lain. dan saya akan huraikan dalam entri akan datang. Jika ada kemusykilan, jangan malu atau segan untuk bertanya.  


Oh ya, jika anda ingin mendapatkan buku atau bahan bacaan untuk anak-anak anda, boleh lihat produk dari kami di http://addhuhanetwork.blogspot.com/p/produk.html.





No comments:

Post a Comment

Jom bincang bersama..